About Us 关于我们 - School History 学校历史


A+ A- Reset

SCHOOL HISTORY

Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa Tenom berasal daripada gabungan dua buah sekolah, iaitu Sekolah Min Nan dan Sekolah Hwa Chiao. Pada tahun 1925, Sekolah Rendah Cina Min Nan telah dibina atas usaha sama golongan cendekiawan Hokkien yang diketuai oleh En. Gan Gui Shio. Manakala, Sekolah Rendah Cina Hwa Chiao pula dibina pada tahun 1931 oleh golongan cendekiawan Kantonis yang diketuai oleh En. Lee Sin Fook. Selepas pengunduran tentera Jepun dari Sabah, Sekolah Rendah Cina Min Nan dan Sekolah Rendah Cina Hwa Chiao telah digabungkan menjadi Sekolah Rendah Chung Hwa. Pada awal tahun 1946, Sekolah Chung Hwa mula beroperasi dengan sepenuhnya dan mengambil lebih kurang 100 orang pelajar. Bangunan Sekolah Hwa Chiao digunakan sebagai bilik pentadbiran dan bilik darjah manakala bangunan Sekolah Min Nan dijadikan asrama pelajar. Pada tahun 1950, kelas menengah rendah (Junior Classes) dibuka. Pada tahun 1950, En. Pan Jing Chi telah mengesyorkan supaya tingkatan menengah rendah dibuka. Dengan itu, wujudlah Sekolah Menengah Chung Hwa, Tenom. Walau bagaimanapun, sekolah rendah dan sekolah menengah masih di bawah Lembaga Pengelola yang sama.

Pada tahun 1955, pihak Lembaga Pengelola sekolah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pelajaran Sabah untuk menukarkan nama Sekolah Chung Hwa kepada Sekolah Menengah-Rendah Chung Hwa (Zhong Hua Zhong Xiao Xue).  Bilangan pelajar di Sekolah Menengah-Rendah Chung Hwa semakin bertambah, maka kelas menengah atas (Senior Classes) dibuka pada tahun 1957. Pada tahun 1960, pentadbiran sekolah rendah dan sekolah menengah telah diasingkan. En. Ma Chun Kun telah diamanahkan menerajui sekolah menengah. Oleh kerana bebanan tugas dan tanggungjawab pengetua semakin bertambah, maka pada tahun 1962, pentadbiran Sekolah Menengah-Rendah Chung Hwa diasingkan kepada dua buah sekolah, iaitu Sekolah Menengah Chung Hwa dan Sekolah Rendah Chung Hwa di bawah pimpinan dua orang ketua, iaitu pengetua dan guru besar.

Pada tahun 1965, Dr. Zheng Zhung Shin menggantikan En. Ma sebagai pengetua sekolah. Pada masa itu, Lembaga Pengelola Sekolah telah membina sebuah kuarters guru dua tingkat. Selain itu, sekolah mempunyai enam buah bilik darjah, satu gelanggang bola keranjang dan satu gelanggang badminton. Pada tahun 1966, sebanyak 10 kelas telah beroperasi iaitu 7 buah kelas menengah rendah dan 3 buah kelas menengah atas. Pada ketika itu bilangan murid adalah seramai 382 orang dan bilangan guru seramai 17 orang.

 

Mulai tahun 1994, di bawah kepimpinan En.Yeoh Sek Goh, Sekolah Menengah Chung Hwa telah masuk ke era teknologi dengan penambahan makmal sains, Bilik Gerakan yang dilengkapi dengan alat pandang dengar, Dewan Mini serba guna dan dua buah bilik Ekonomi Rumah Tangga. Pada masa itu, pencapaian sekolah dalam peperiksaan SRP/PMR dan SPM kian meningkat setiap tahun.

 

Pada tahun 1997, Sekolah Menengah Chung Hwa telah mencipta nama dalam peperiksaan PMR dan SPM dengan meletakkan sekolah dalam senarai 10 buah sekolah terbaik di seluruh negeri Sabah. Setahun selepas itu, dengan inisiatif dan usaha yang diambil oleh pengetua, En. Tung Yow Choi dan pengerusi Lembaga Pengelola, En. Wong Yit Ming, kelulusan telah diperoleh dari Jabatan Pendidikan Sabah untuk menawarkan aliran sains di tingkatan 4. Pada penghujung tahun 1998, sebuah bangunan konkrit telah siap dibina dan mula digunakan pada Jun 1999. Bangunan baru ini telah dilengkapi dengan sebuah makmal komputer, dua buah makmal sains, sebuah pusat sumber dan 10 buah bilik darjah.

 

Semasa En. Lee Chin Hoi menjadi pengetua sekolah pada tahun 2001, beliau telah memperluaskan Pejabat Am dan Bilik Guru sekolah untuk keselesaan dan kebajikan semua kakitangan sekolah. Pada penghujung tahun 2002, Pn. Lian Fee Choo selaku pemangku pengetua telah membina sebuah blok konkrit satu tingkat yang mempunyai dua buah bilik pandang dengar, sebuah bilik kaunseling serta sebuah bilik Ketua Bidang. Pada tahun 2006, Pn. Lian Fee Choo, pengetua sekolah masa itu dengan kerjasama Lembaga Pengelola Sekolah, Blok D yang usang telah diperbaiki dan Dewan Terbuka serba guna telah didirikan.

 

Semasa pentadbiran pengetua Pn. Teh Siew Suan dengan kerja sama pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah, mendiang En. Loo Kah Soo, Blok A, Blok B dan Blok D dan pagar sekolah telah dinaiktaraf. Pada tahun 2015 – 2016 usaha gigih pengetua Pn. Teh Siew Suan dan pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah En. Ng Tet  Hau, banyak kemudahan infrastruktur telah dibina.  Antaranya ialah bilik jahitan, bilik Pengawas, bengkel Kemahiran Hidup dan bengkel masakan.  Projek yang membanggakan ialah bangunan baharu yang dinamakan sebagai ‘Bangunan Yayasan Kinabalu’ yang telah dirasmikan pada 26 Ogos 2016 oleh Yang Berhormat Datuk Teo Chee Kang JP, Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah.