校长讯息 Principal's Messages

Ucapan Tuan Pengetua sempena Minggu PSS 2012
31 Jul 2012 School Admin - SMJK PHOR TAY (PENANG, GEORGETOWN) 

 

Ucapan Tuan Pengetua sempena Minggu PSS 2012

 

        Bulan Julai telah diisytiharkan sebagai Bulan Membaca Kebangsaan sejak tahun 1995 oleh Perpustakaan Negara Malaysia.  Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, ilmu pengetahuan dan pendidikan merupakan asas dan jaminan kepada pembentukan masyarakat dan negara yang makmur dan membangun. Taraf hidup dan nilai sesebuah negara amat bergantung kepada persepsi masyarakat terhadap ilmu pengetahuan, pembentukan satu masyarakat madani dengan nilai-nilai budaya yang bermoral, bermaruah dan bertamadun mulia adalah ditentukan oleh tahap pencapaian ilmu masyarakat itu sendiri. Sesebuah masyarakat yang miskin ilmu tidak akan kaya budaya dan tamadunnya. Justeru itu, adalah penting bagi kita untuk mengembleng tenaga dan berusaha ke arah memupuk nilai membaca. 

        Lantaran itu, Pusat Sumber Sekolah merupakan sebuah tempat yang menyediakan kemudahan serta koleksi bahan untuk warga sekolah demi membentuk budaya suka membaca ini.  Selain itu, Pusat Sumber Sekolah juga menyediakan maklumat, perkhidmatan dan keperluan bagi memperkukuhkan pengajaran-pengajaran untuk penguasaan kemahiran asas serta kemahiran maklumat pendidikan ke arah pembentukan masyarakat berbudaya ilmu, gemar membaca dan berkemahiran belajar sepanjang hayat.