SMJK CHOONG HUA

羙罗中华国民型中学
WE CAN DO IT IF WE THINK WE CAN


Principal's Messages 校长讯息

Sekapur Sireh, Seulas Pinang
02 Jan 2010 School Admin - SMJK CHOONG HUA (PERAK, BIDOR) 

Selamat sejahtera dan salam 1 Malaysia.

   

Tahun 2010 ialah satu tahun yang penting. Ia merupakan tahun terakhir untuk fasa pertama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia (2006 - 2010) dan Perancangan Strategik Jabatan Pelajaran Negeri Perak (2005 - 2010). Pada masa yang sama, ia merupakan permulaan untuk Penbangunan Baru Pendidikan 2010 - 2012. Rakyat berkehendakan perubahan yang boleh dilihat dan dirasai dan kerajaan mahukan pencapaian diutamakan. Adalah menjadi tanggung jawab kita sebagai pendidik untuk merealisasikan NKRA dan KPI yang ditetapkan oleh kerajaan. Kita harus menyahut kepada konsep 1 Malaysia dengan membawa kepada transformasi dalam pendidikan agar menghasilkan insan yang berdaya saing dan daya maju mengikut kehendak era globalisasi dan memenuhi hasrat pendidikan kebangsaan.

   

Visi sekolah ini ialah untuk menjadi sebuah sekolah yang cemerlang menjelang 2010 melalui kecemerlangan dalam pengurusan kurikulum, ko-kurikulum, kesahsiahan murid dan pentadbiran sekolah. Visi sekolah hanya akan tercapai jika seluruh warga sekolah bekerjasama dan menggemblengkan usaha ke arah yang sama secara kolektif. Budaya kerja yang cemerlang di kalangan guru dan staf akan membina ketamadunan ilmu di sekolah dan seterusnya membuka peluang kepada murid untuk mencipta kejayaan yang cemerlang. Di samping itu, kemudahan infrastruktur juga penting untuk memberi sokongan kepada kejayaan program yang dirancangkan. Tambahan, pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan serta menggunakan peralatan teknologi yang baru akan memberi peluang dan pendedahan kepada semua murid supaya dilengkapi dengan kemahiran dan kefahaman yang terkini selaras dengan perkembangan semasa. Pembangunan modal insan tidak akan lengkap dan seimbang tanpa program ko-kurikulum dan sukan yang terancang secara bersistem menjurus kepada Falsafah Pendidikan Nasional.

   

Saya berharap kecemerlangan yang menjadi halatuju sekolah ini dapat dihayati oleh seluruh warga sekolah dan masyarakat, khususnya ibubapa murid sekolah ini. Saya juga berharap agar kerjasama dan budaya cemerlang yang telah dipupuk selama ini dapat dikekalkan dan terus dipertingkatkan. Kerjasama yang dicurahkan oleh semua pihak dalam segala bentuk bagi menjayakan program di sekolah ini amat dihargai dan diucapkan jutaan terima kasih.

 

Sekian, maju jaya.

 

 

Puan Teng Siew Bee

Pengetua SMJKCHB