SMJK TIONG HUA

中华国民型中学
Pengetahuan Mercu Jaya


Principal's Messages 校长讯息

Ucapan Pengetua 2021
03 Sep 2021 School Admin - SMJK TIONG HUA (SABAH, SANDAKAN) 

Sekalung penghargaan dan tahniah saya ucapkan kepada Ahli Jawatankuasa Laman Web SMJK Tiong Hua atas kejayaan menyempurnakan pembangunan laman web sekolah ini dengan jayanya. Tanpa kesungguhan dan komitmen yang tinggi sudah tentu laman web ini tidak dapat diaktifkan dan dimanfaatkan seperti yang dirancangkan.

 

Saya amat berharap dengan kewujudan laman web ini, maklumat sekolah akan lebih mudah diperoleh oleh semua pihak terutamanya murid-murid, para ibu bapa, para alumni, mahupun sesiapa sahaja yang berminat untuk mengikuti perkembangan sekolah. Bagi pihak sekolah pula laman web ini merupakan satu saluran yang terkini, cepat dan mudah untuk menyebarkan maklumat berhubung dengan perkembangan sekolah secara lebih berkesan.

 

Saya juga berharap semoga dengan adanya laman web ini, semua pihak dapat mencambahkan idea-idea bernas serta buah fikiran yang berupaya meningkatkan lagi prestasi akademik dan kokurikulum sekolah ini. Sebagai sebuah sekolah yang mempunyai cita-cita besar untuk menempa kecemerlangan dalam dunia pendidikan, penggemblengan tenaga dan usaha daripada warga sekolah dan semua pihak yang berkaitan secara langsung mahupun tidak langsung amat diharapkan demi meningkatkan kecemerlangan sekolah melalui pengurusan sekolah yang cekap dan efisien. Semoga semua tenaga kerja dan warga sekolah ini sentiasa menunjukkan inisiatif serta komitmen yang tinggi dalam usaha menjana kecemerlangan sekolah ini selaras dengan visi dan misi sekolah.

 

Manfaatkanlah penggunaan internet untuk tujuan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran anda. Saya berkeyakinan bahawa barisan pendidik dan semua pelajar, mampu merealisasikan matlamat tersebut. Saya juga berharap agar SMJK Tiong Hua dapat melahirkan pelajar yang cemerlang bukan hanya dari aspek akademik malah dari aspek sahsiah diri seiring dengan Falsafah Pendidikan Negara yang turut menggariskan matlamat melahirkan individu yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

 

Akhir kata, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Lembaga Pengurusan Sekolah, Persatuan Alumni Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atas segala khidmat nasihat serta sokongan dan kerjasama yang diberikan kepada pihak sekolah. Saya juga berterima kasih badan NGO yang memberi sumbagan dan bantuan kepada sekolah ini. Hubungan komuniti yang baik telah memberi impak yang sungguh positif kepada sekolah ke arah kecemerlangan.

 

Sekian, terima kasih.

 

 

HUANG LEE YUNG
Pengetua SMJK Tiong Hua

Sandakan