今天是阳历 2024 年 05 月 03 日 星期五 农历 三月月 廿五日

 

Majlis Persaraan En. Lee Kin Yong
30/06/2008 • School Admin - SMJK YOK BIN • Filed Under 文件存於 majlis persaraan • SMJK YOK BIN MELAKA 马六甲育民国民型中学

        Pada tanggal 20 Jun 2008, Majlis Persaraan En. Lee Kin Yong telah dilangsungkan dengan jayanya di dataran Yok Bin. Kemeriahan sambutan majlis tersebut amat bermakna bagi seorang guru yang telah berkhidmat di SMJK Yok Bin selama 28 tahun tanpa jemu. Berikut ialah teks biodata yang telah dibacakan oleh En. Chan Chin Ho pada detik yang bersejarah itu. 

          Beliau dilahirkan pada 22 Jun 1952 di Jalan Gelanggang, Melaka. Kemudian, beliau dibesarkan di Batu Berendam. Bersekolah rendah di SJK (C) Wen Hua, Batu Berendam. Seterusnya, beliau meneruskan pelajaran di SMK Gajah Berang. Kerana dedikasi, beliau berjaya menyambung pelajaran tingkatan 6 di TAR College, Kuala Lumpur. Tahun 1978, beliau berjaya menamatkan pengajian Bachelor of Sains (Matematik) dengan kepujian di Universiti Malaya. Kerana cintanya pada dunia pendidikan, beliau mengambil diploma pendidikan pada tahun 1980 juga di Universiti Malaya.  

Hadirin budiman,

          Video shooting dan video editing merupakan hobinya. Beliau amat meminati classical instrumental dan light music. Hanya seorang insan sahaja yang lebih memahami beliau. Tidak lain dan tidak bukan, isterinya Puan Tee Siew Tuan. Berikan tepukan kepada Madame Tee. Mereka berkahwin pada tanggal 6 Jun 1982. Amitabha! Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki dan dua orang cahaya mata perempuan. Putera dan puteri sulung sedang bekerja setelah menamatkan pengajian di universiti. Puteri bongsu sedang belajar di SMK Gajah Berang. Baru-baru ini, putera kedua berjaya ditawarkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Tahniah buat beliau sekeluarga!

Tinggi-tinggi duhai Mr. Lee,

Ajar Matematik sangatlah hebat;

Sabar dan setia Yok Bin di hati,

28 tahun terasa singkat.

          Jodoh Tuhan ya... karier beliau sebagai guru bermula pada tanggal 7 Januari 1980 di SM Yok Bin. Beliau merupakan pemeriksa kertas soalan Matematik SPM 1983 - 2003 (20 tahun). Beliau juga pernah mengajar Fizik tingkatan 4 dan 5. Kita mungkin lupa bahawa beliau pernah mengajar Matematik tingkatan 6.

         Sukan kegemaran beliau ialah bola baling. Kalau kita kira-kira, dari zaman zon Bukit Cina hingga terbentuknya zon Ayer Keroh, beliau setia sebagai pengurus teknikal selama 8 tahun. Lewat 80-an hingga awal 90-an, pasukan bola baling SMYB pernah menggondol kejuaraan dalam semua, iaitu 4 kategori yang dipertandingkan dalam MSSM negeri Melaka selama dua tahun berturut-turut. Pada 1991, sebanyak 8 pemain pasukan bola baling SMYB (daripada 12 pemain negeri) telah mewakili Melaka ke MSSM peringkat kebangsaan di Batu Pahat. Sebagai pengurus pasukan, beliau bangga kerana pasukan tersebut berjaya menggondol Johan MSSM peringkat kebangsaan. Pelajar yang bernama Ong Ka Chuan selaku Captain dinobatkan sebagai Best Player MSSM peringkat kebangsaan 1991.

          Yang paling ketara, beliau ialah penasihat pancaragam simfoni sejak tahun 1981. Pancaragam Simfoni pernah menjadi ethos atau watak bukan sahaja untuk SMYB, malah pasukan pancaragam negeri Melaka suatu ketika dahulu. Simfoni Band meniti zaman kegemilangannya apabila selalu cemerlang sebagai johan dalam pertandingan pancaragam peringkat negeri Melaka sekitar 80-90-an. Yang terbaru meraih anugerah emas, Best Costume dan Best Song di Mahkota Parade pada awal tahun 2008.

Hadirin yang baik hati,

          Tidak hairanlah beliau menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 1994 dan 2005. Beliau bersama-sama kita bukan setahun, bukan dua tahun atau tiga tahun. Tetapi 28 tahun. Kita perlu sedar sudah 28 tahun berlalu. Ya, selama 28 tahun, beliau mengabadikan hidupnya di Yok Bin. 28 tahun. Satu jangka masa yang hampir tiga dekad. Segalanya bermula dan berakhir di SMJK Yok Bin. Satu-satunya sekolah tempat beliau menabur jasa, paling banyak anak didiknya, dan yang paling penting, paling banyak rakan seperjuangan sejati yang sama-sama berkongsi kenangan manis juga kenangan pahit.