SMK CHUNG HUA, SIBU

诗巫中华中学

"Outwit Others, Outwit Ourselves"


News and Events 新闻与事件 - School News 学校新闻

A+ A- Reset

SMK Chung Hua raih anugerah Sekolah Terbaik STPM 2014
05 Mar 2015 School Admin - SMJK CHUNG HUA (SIBU) (SARAWAK) 

 KEJAYAAN SMK Chung Hua mendapat anugerah Sekolah Terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2014 daripada Majlis Peperiksaan Malaysia disifatkan Tham Yoh Yin sebagai satu kejayaan terbesar sekolah itu hasil usaha keras warga pendidik serta pelajar sekolah berkenaan.

Tham merupakan pengetua SMK Chung Hua ketika ditemui kelmarin tidak dapat menahan air mata kerana terlalu gembira serta teruja atas kejayaan dikecapi sekolah itu.

Menurutnya, sebelum beliau menerima khabar gembira berkenaan, beliau dipanggil datang ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sibu dan mula berasa risau kerana beranggapan sesuatu tidak baik berlaku terhadap keputusan STPM dan SPM di sekolahnya.

“Bila tiba di sana, saya terus bertanya adakah sesuatu yang tidak baik berlaku terhadap calon peperiksaan sekolah kami. Jangan risau, ini adalah berita baik jawab mereka kepada saya,” katanya.

Jelasnya, Pengarah Jabatan Pendidikan Kuching menghantar surat rasmi kepadanya pada hari Jumaat (27 Februari) sebagai mengesahkan berita gembira itu dan sebelum mendapat surat rasmi tersebut, beliau diminta merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan ramai.

Kata Tham, beliau percaya sekolahnya mampu mencapai kejayaan setinggi ini tetapi ia bukan sesuatu yang mudah.

“Kami telah menjangkau tahap kemampuan kami dan banyak usaha telah dicurah bagi memastikan kejayaan ini tercapai. Di SMK Chung Hua, tiada seorang pelajar dibiar ketinggalan. Kita tidak hanya mementingkan kualiti sahaja tetapi memastikan semua calon membuat yang terbaik,” ujarnya.

Oleh itu, beliau turut mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Pengarah PPD Sibu Wong Chung Kung dan kepada semua warga pendidik yang telah banyak memberi sokongan kepada sekolah berkenaan.

“Di Sibu, pengetua saling membantu antara satu sama lain dan anugerah ini bukan sahaja untuk SMK Chung Hua tetapi untuk semua rakyat Sarawak.

“Semasa saya mengambil sijil penghargaan ini, saya berharap semua rakyat Sarawak berada di sana menyaksikan kejayaan kami,” kata Tham sambil mengalirkan air mata kerana tidak dapat menahan rasa gembira dalam dirinya.

Sepanjang beliau menjadi pengetua selama 18 tahun, Tham tidak pernah lagi mendengar sekolah lain di Sarawak ini mendapat anugerah berprestij seperti itu.

Di samping itu, kata Tham, untuk memastikan kejayaan terbaik untuk sekolah itu, beliau sering menasihati guru agar jangan mudah berputus asa mendidik pelajar lemah dalam pelajaran.

Baginya, pelajar lemah masih lagi boleh diberi harapan yang boleh menjadi pemangkin bagi mereka kekal maju.

“Saya sebagai pengetua ingin memberi mereka sedikit harapan. Kini mereka mempunyai harapan cerah untuk mendapat tempat di universiti. Dulu mereka bukan pelajar terbaik SPM, kini mereka telah membuktikan benar-benar mampu menjadi pelajar cemerlang.

“Saya pasti, lebih 80 peratus daripada mereka ini akan melanjutkan pengajian mereka di universiti. Selain itu, ada juga yang tidak dapat meneruskan pengajian ke universiti atas alasan masalah kewangan keluarga,” jelasnya.

Menurutnya juga, pada tahun hadapan, SMK Chung Hua akan menyambut ulang tahun ke-100 dan anugerah Sekolah Terbaik STPM 2014 yang diterima sekolahnya itu merupakan satu hadiah terbaik untuk SMK Chung Hua.

Berhubung keputusan SPM yang keluar kelmarin, terdapat sedikit penurunan tetapi beliau tetap mengucapkan syabas kepada pelajar atas segala usaha keras yang mereka curahkan.

“Apa yang berlaku, kami akan analisis dan lakukan siasatan mengenai faktor menyumbang ke arah kegagalan ini. Selepas itu, kita akan cuba untuk meningkatkan lagi usaha ini.

“Bila kita jatuh, kita masih boleh untuk berdiri kembali dan belajar daripada kesilapan,” ujar Tham lagi.

Sementara itu, salah seorang pelajar terbaik STPM Lau Yun Hao berkata dia bercadang untuk menduduki kembali kertas Bahasa Melayu dan Bahasa Cina pada Khamis ini.

Lau, mendapat A dalam kertas Ekonomi dan Pengajian Am dan B+ untuk Bahasa Melayu dan Cina dengan PNGK 3.92 berkata, akan mencuba sekali lagi bagi mendapat keputusan  lebih baik.

“Sejujurnya, saya tidak pasti sejauh mana saya akan mampu lakukan kali ini. Apa yang saya akan lakukan hanyalah yang terbaik,” ujarnya.

Manakala bagi Tie Hung Ying, yang juga mendapat PNGK 3.92, berkata dia berpuas hati dengan keputusan yang diperolehi dan berharap dapat melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Saya sangat meminati pengajian Bahasa Cina dan berharap akan menjadi seorang guru bahasa Cina,” tambahnya.



Read more: http://www.theborneopost.com/2015/03/05/smk-chung-hua-raih-anugerah-sekolah-terbaik-stpm-2014/#ixzz3iZKDEYlj




Search 搜索

Start Date 开始日期 :
End Date 结束日期 :
News and Events 新闻与事件 : School News 学校新闻  Co-curriculum News 活动新闻   Event Calendar 行事历 
 


Post a Comment 发表评论


Please [login] to post comment